Wednesday, May 11, 2011

Mengenang Natrah

Kalaulah Natrah tahu...

Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.



PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.
Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.
Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.
Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.
Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.

TINGGAL KENANGAN. (Dari kiri): Peguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi dan bapa angkat Mansor, M.A Majid.


Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.
Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.
Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.
Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.
"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

SETELAH gagal menjejak Natrah di Belanda, Fatini (kanan) pergi ke AS dan bertemu Natrah di sana pada tahun 1989.


Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.
"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.





NATRAH meninggal dunia di Belanda pada usia 72 tahun, Khamis lalu.


"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.
"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.
Natrah cuba bunuh suami
Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.
"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.
"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.
Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.
"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.
Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.
"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.
"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.
"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...
"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...
"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.
Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.
"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.





P/S : Thanks to Kosmo online :)

Mengenang Natrah

Nadra Maarof atau nama belanda Bertha Hertogh (1937-2009) adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.
Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya Adeline Hunter. Kakaknya WiesjeCorrie. Adiknya Benny dan Karel.
Beliau meninggal dunia pada 9 Julai 2009 pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda.[1]

Susur galur

  • 1937 24 Mac Natrah dilahirkan di TjimahiJawaIndonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
  • Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
  • Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari KemamanTerengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
  • 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung BanggolKemamanTerengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
  • 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke BandungJawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
  • September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur LockePenasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
  • 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
  • 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
  • 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
  • 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft CentreYork HillSingapura
  • 28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
  • 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
  • 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
  • 1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139,Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi MuhamadSiti Aisyah.
  • 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undangBelanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
  • Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
  • 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
  • 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
  • 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang KallangSingapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
  • Ada protes orang Islam di KarachiPakistan yang bersimpati dengan Natrah.
  • 15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang ScipholAmsterdamBelanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dansepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
  • Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
  • Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
  • 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
  • 10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
  • 17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
  • Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.
  • 25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
  • 20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
  • 1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
  • 26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
  • 20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
  • 15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya SilvijaCarolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
  • 20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
  • 3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
  • 25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt danMansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
  • 16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
  • 26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
  • 1976 Che Aminah meninggal dunia di ChukaiTerengganu ketika berusia 70an
  • Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di OssendrechtBelanda kira-kira 12 km dari Bergen Op ZoomBelanda.
  • 1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans
  • 1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
  • 15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
  • Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.[perlu rujukan]
  • Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
  • 9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemiapada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.

Rujukan

Mengenang Natrah


Darah Tragedimu Masih Basah

BARU Subuh ini saya mendengar berita kematian Bertha Hertogh atau Maria Heberania Hertogh atau lebih dikenali dengan nama Natrah di Malaya ini. Beliau meninggal dunia dalam usia 72 tahun di kediamannya di Huijbergen, Belanda, kerana leukemia begitulah laporan berita. Natrah adalah satu nama yang cukup nostalgik bagi umat Islam negara ini. Satu nama yang boleh menitiskan air mata bila menghimbau sejarah dan kisah yang melakari hidupnya.

Mereka yang mengingati kepada Natrah atau hidup sezaman dengannya akan memalingkan kenangan kepada tragedi yang pada 1950 yang meletus di Singapura sebegitu mendengar nama Natrah disebut.

Mungkin juga perasaan sebak dan terharu akan memenuhi diri apabila mengenangkan nasib dan liku-liku kehidupan yang pernah ditempohi Natrah yang begitu sulit, tragis dan menyedihkan.
Sebenarnya perjalanan Natrah atas dunia ini sungguh mencabar peribadinya dan tidak terungkap oleh sesiapa pun secara hakiki.

Natrah tidak asing kepada mereka yang cintakan Islam bukan saja di negara ini bahkan umat Islam di seluruh dunia juga. Tragedi yang menimpa dirinya dan juga gara-garanya menjadi lambang kepada betapa pengorbanan umat Islam dalam membela agamanya terlalu tinggi dan luhur. Umat Islam bukan saja sanggup melakukan apa saja, hatta darah untuk menjaga kesucian agamanya sanggup digadai.

Tragedi yang berlaku di sebalik pencaroba dilalui Natrah adalah satu simbol dan papan tanda sejarah untuk umat Islam negara ini khususnya, yang mungkin sengaja dicetuskan Tuhan dengan tujuan-tujuannya yang harus ditafsirkan dengan makrifah mendalam. Justeru apa yang berlaku di sebalik diri Natrah tidak boleh dilupakan atau dihayati bagaikan menelaah buku sejarah saja. Ia perlu diingat dan diambil sebagai iktibar berguna.

Sebaik mengetahui berita kematiannya, Rabu lalau saya melayari internret mencari kisah-kisah mengenai Natrah. Membaca semula kronologi apa yang berlaku terhadap diri Natrah. Ringkasnya, Natrah seorang gadis berbangsa Belanda yang menjadi polimek dan rebutan dua agama dan dua budaya. Agama Islam dan Kristian dan budaya Melayu dan Belanda. Secara tidak langsung Natrah juga menjadi penguji kepada sejauh mana keimanan umat Islam negara ini.

Natrah dilahirkan di Tjimah, Jawa, Indonesia pada 24 Mac 1937 dari sepasang suami isteri berbangsa Belanda beragama Khatolik, Adrimus Petrus Hertogh, seorang sarjan askar dan ibunya bernama Adeline.

Semasa berusia lima tahun beliau diserahkan oleh ibunya dan neneknya Nor Louisyen kepada seorang penjual kain batik berasal dari Kemaman, Terengganu, Che Aminah Mohammad. Penyerahan Natrah kepada Che Aminah adalah demi melindungi anaknya itu. Ia dipercayai dilakukan bertolak dari kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Saat itu anti dan sentimen kebencian rakyat kepada Belanda di Indonesia memuncak. Mungkin atas kasih sayang seorang ibu kepada anak dan firasatnya demi menyelamatkan nyawa anaknya, Adeline menyerahkan kepada Che Aminah. Penyerahan Natrah kepada Che Aminah ini tidak diketahui oleh bapanya yang ketika itu yang dalam tawanan Jepun.

Che Aminah menerima tanggungjawab dan amanah Adeline itu dengan membawa balik Natrah ke Malaya menerusi Singapura. Bermula pada hari itu Che Aminah menerima Natrah sebagai anak kandungnya sendiri, malahan lebih dari itu. Bagi Che Aminah, Natrah bukan sekadar anak tetapi jiwanya. Di Terengganu dalam penjagaan Che Aminah, Natrah menjalani kehidupan baru dan selamat dunia akhirat. Beliau diberikan didikan budaya dan agama yang dianuti Che Aminah, agama Islam dan budaya Melayu.

Natrah dibesarkan dalam keadaan penuh kasih sayang dan hormat. Untuk menjamin dan menjaga keselamatan Natrah Che Aminah mengahwinkan Natrah dengan Mansor Adabi seorang guru ketika Natrah berusia 13 tahun dan Mansor 22 tahun. Perkahwinan ini adalah perkahwinan gantung kerana Natrah masih gadis sunti. Ia berlaku selepas keluaraga Natrah cuba menuntut Natrah dan sebagai ikhtiar Che Aminah menyelamatkan pertiwi jiwanya itu.

Kehidupan aman bahagia yang dilalui Nartrah bersama ibu barunya itu bagaimana pun terganggu apabila Adrimus sekembali ke Belanda mencari anaknya dan menuntut semula agar ia dikembalikan kepadanya. Di sinilah Natrah mula menjadi isu, polemik dan juga akhirnya mencetuskan tragedi berdarah.

Ayahnya menuntut Natrah di mahkamah di Singapura agar dikembalikan kepadanya yang berhak. Dalam perbicaraan ini Che Aminah berjaya memperolehi hak penjagaan ke atas Natrah. Bagaimanapun ia tidak berakhir di situ. Adrimus terus menuntut Natrah atas alasan Natrah tidak boleh dikahwinkan dengan Masnor.

Undang-undang Belanda digunapakai di mana menurut undang-undang Belanda wanita di bawah umur 16 adalah menjadi hak dan kewajiban keluarga bagi memutuskan masa depannya termausk dalam soal agama, perkahwinan dan sebagainya. Tuntutan ini diperolehi oleh Adrimus.

Keputusan mahkamah itu menyebabkan pada 12 Disember 1950, Natrah dirampas semula oleh keluarganya dan dibawa balik ke Belanda. Keputusan ini sudah tentu sesuatu yang berat bagi Natrah dan memilukan hati Che Aminah dan seluruh umat Islam.
Keputusan mahkamah ini meninggalkan rasa pedih dan satu tamparan kepada umat Islam. Bagi Che Aminah dan keluarganya usahlah diceritakan lagi. Anak yang selalu didodai dan dijaga bagaikan meruntun kelopak yang sedang berkembang mewangi, kehilangan Natrah seolah segala kehidupan Che Aminah dan juga Mansor bagaikan terpadamnya mentari dan bulan.

Mungkin keputusan mahkamah yang memberi hak kepada keluarganya menjaga Natrah tidak menimbulkan kemarahan. Tetapi apabila mahkamah juga memutuskan Nartrah dijadikan Khatolik (kembali ke agama asal orang tuanya) inilah yang menimbulkan kemarahan dan menderaukan darah.

Kemurtadan inilah menyebabkan berlakunya rusuhan. Umat Islam tidak boleh menerima kejadian ini kerana ia mencabar seluruh kehidupan mereka. Keputusan itu seolah menginjak-injak kesucian agama mereka.

Rusuhan berlaku kerana atas keyakinan demi menjaga akidah Natrah. Umat Islam bangkit cuba mempertahankannya. Dalam rusuhan ini seramai 18 orang terbunuh dan beratus-ratus cedera. Perisitwa dan tragedi ini adalah terbesar berlaku yang bertolak dari sentimen keagamaan. Tragedi inilah juga yang menjadi sejarah hitam bagi Natrah dan umat Islam Malaya ketika itu.

Mengenai meletusnya tragedi ini, Natrah tidak boleh dipersalahkan. Beliau tidak boleh berbuat sesuatu. Dalam usianya itu dia hanya mengikut saja. Ia tertakluk dibawa kekuasaan siapa yang kuat dan berkuasa. Natrah hanya sebuah piala rebutan antara keluarganya (Kristian) dengan umat Islam Malaya.

Yang jelasnya pemulangan Natrah ke Belanda menerusi keputusan mahkamah itu tidak menyeronokkannya? Betapa tidak Natrah terpaksa meninggalkan dua jiwa, ibunya (Che Aminah) dan suaminya (Mansor Adabi) serta kehidupan hakikinya di bawah penjagaan Che Aminah.

Sepanjang di Belanda tidak ada siapa tahu secara pasti apakah beliau berusaha untuk meloloskan diri dan kembali kepada kebahagiaan hakiki yang dinikmati di Malaya bersama Che Aminah dan Mansor Adabi serta bersama umat Islam lain. Namun surat-surat atau pesan-salam yang berlaku antara mereka menggambarkan bahawa hati Natrah masih di Malaya manakala yang berada di Belanda hanya lembaga raganya yang kosong saja.

Dari catatan dan laporan mengenai perjalanan hidupnya di Belanda, ia adalah berita-berita yang mengguriskan hati menyedih. Hidup Natrah digambarkan sebagai menyeksakan. Rumah tangganya yang dibina sebanyak dua atau tiga kali runtuh berselerakan. Untuk membiayai kehidupan Natrah juga dikatakan pernah berkerja sebagai pencuci hotel dan tukang masak.

Paling menghibakan hati apabila beliau juga dikatakan pernah mengalami gangguan jiwa dan ditangkap polis kerana merancang untuk membunuh suaminya. Sepanjang perkahwinan beliau dikurniakan 10 orang anak.

Semoga Natrah atau Bertha Hertogh damai dalam persemadian